Solat Jumaat............................

Solat Jumaat

Solat Jumaat ialah solat fardu (dua rakaat) yang dilakukan pada hari Jumaat menggantikan solat Zohor, dan ia dilakukan secara berjemaah selepas mendengar Khutbah Jumaat. Solat Jumaat itu hukumnyaFardu Ain, iaitu wajib dikerjakan atas setiap mukallaf dengan syarat-syarat tertentu.


Firman Allah SWT:

“ "Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi ke masjid untuk mengingati Allah [dengan mengerjakan solat Jumaat] dan tinggalkanlah berjual beli [pada saat itu]; yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui [hakikat yang sebenarnya]," (Surah Al-Jumu'ah: 9) ”


Hadis tentang Solat Jumaat
Sabda Rasulullah SAW:

“ "Solat Jumaat itu hak wajib dikerjakan oleh tiap-tiap orang Islam dengan berjemaah, kecuali empat jenis manusia: hamba sahaya yang dimiliki, perempuan, anak-anak, dan orang yang sakit." (Hadis Riwayat Abu Dawud & Hakim). ”


Haram tinggalkan solat Jumaat
Meninggalkan solat Jumaat merupakan perbuatan yang ditegah kerana solat Jumaat hukumnya adalah wajib, fardu ain ke atas setiap individu muslim. Orang yang meringan-ringankan hukum Allah ini akan mengundang kemurkaanNya dan mereka bakal menerima balasan yang setimpal dengan dosa yang dilakukan. Bahkan orang yang enggan mentaati suruhan Allah, pintu hatinya lama kelamaan akan tertutup daripada mendapat hidayah dan menjadikan mereka semakin sesat dan terus melakukan dosa-dosa yang lain.

Dari Abu Jakdi ad-Dhamri bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“ "Sesiapa yang meninggalkan solat Jumaat 3 kali dengan sengaja, maka Allah SWT akan menutup hatinya daripada menerima petunjuk" (Hadis riwayat Abu Daud) ”

Pengecualian dari menunaikan solat Jumaat
Seorang Muslim yang mengalami salah satu perkara di bawah ini adalah dikecualikan dari menunaikan solat Jumaat, mereka hanya perlu solat Zohor seperti biasa:

Sakit - Iaitu sakit yang menyukarkan untuk ke masjid atau bimbang akan memudaratan penyakitnya.
Hujan - Jika hujan itu membawa kesukaran untuk pergi ke masjid.
Musafir - Iaitu orang yang keluar sebelum subuh untuk bermusafir.
Takut dizalimi - Orang yang bersembunyi kerana takut di zalimi.
Perang - Orang yang berada di medan perang.

Perkara-perkara sunat yang dilakukan pada hari Jumaat
Mandi sunat hari Jumaat, terutama ketika hendak berangkat ke Masjid.
Memotong kuku.
Memotong, mencabut atau mengunting bulu [ketiak, hidung, misai].
Bersugi.
Memakai wangi-wangian.
Berhias diri dengan memakai pakaian yang bersih dan cantik.
Bersegera pergi ke masjid.
Berniat Iktikaf.
Solat sunat Tahiyatul Masjid sebaik sahaja masuk ke dalam masjid.
Memperbanyakkan berzikir, membaca Al Quran dan berselawat ke atas Nabi.

 

0 comments: