Hukum bertatu......

Tatu ialah tanda pada badan yang dibuat dengan melarik, mencucuk dan memasukkan warna.

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah bahawa tatu itu ialah mencucukkan jarum atau sebagainya di belakang telapak tangan, pergelangan tangan, bibir atau selainnya di tubuh badan sehingga darah mengalir. Kemudian diisi tempat itu dengan celak atau kapur tohor (kapur hidup) sehingga menjadi hijau.

Tatu pada kebiasaannya dijadikan sebagai perhiasan atau adat atau kerana tujuan keagamaan dengan mengukir gambar-gambar, lambang, nama kumpulan atau sebagainya di tubuh badan.
Namun pada hakikatnya, tatu itu boleh memberi kesan yang buruk kepada kesihatan orang yang bertatu. Kesan-kesannya adalah seperti berikut:-

(i) Alahan pada jenis pigmen atau pewarna yang digunakan. Simptom seperti bengkak dan gatal-gatal pada bahagian yang mempunyai kesan merah akibat mentatu.

(ii) Jangkitan penyakit Hepatitis B.

(iii) Jangkitan HIV dan Hepatitis C boleh berjangkit sekiranya jarum yang tercemar digunakan.

Kesukaran dan kesakitan dalam menghilangkan kesan tatu itu juga tidak dapat dinafikan. Antara kaedah bagi menghilangkan tatu tersebut adalah seperti berikut:-

(i) Menggunakan laser yang boleh menghuraikan pewarna kepada partikel-partikel kecil yang boleh dicerna oleh kulit.

(ii) Excision melibatkan pemotongan bahagian kulit yang mempunyai tatu.

(iii) Salabrasion yang menggunakan air garam untuk disapukan ke atas tatu bagi merosakkan kulit.

Pada zaman ini, banyak perkara-perkara yang boleh merosakkan akhlak orang Islam umpamanya dengan menjadikan tatu itu sebagai perhiasan. Ditakuti ada belia remaja yang terpengaruh dengan gejala ini. Apakah kesan mentatu itu terhadap ibadat-ibadat seperti bersuci,
sembahyang dan sebagainya? Inilah persoalan yang patut diketahui.

Hukum Bertatu

Melakukan tatu itu dilaknat oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Ia adalah haram ke atas
orang yang minta dibuatkan tatu dan orang yang membuatkan tatu
dan ia tergolong dalam dosa-dosa besar.

Diriwayatkan daripada ‘Abdullah Radhiallahu ‘anhu, katanya:
َ
Maksudnya:

“Allah melaknat perempuan-perempuan yang membuat tatu, perempuan-perempuan yang meminta dirinya untuk ditatu, perempuan-perempuan yang meminta bulu keningnya dibuang dan perempuan-perempuan yang mengikir giginya, (semua ini semata-mata) untuk kecantikan iaitu perempuan- perempuan yang mengubah ciptaan Allah Ta‘ala. (Setelah itu Ummu Ya‘kub bertanya kepada ‘Abdullah Radhiallahu ‘anhu mengenai apa hadits yang beliau melaknat perkara tersebut, beliau menjawab: “Bagaimana aku tidak melaknat sesiapa yang dilaknat oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sedang ia ada dalam Kitab Allah. { (Firman Allah Ta‘ala dalam surah al-Hasyr ayat 7 yang tafsirnya): “Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kepada kamu maka terimalah serta amalkan }.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma katanya:

Maksudnya:
“Bahawanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melaknat orang yang membuat cemara (orang yang menyambungkan rambut), orang yang minta dicemarakan (orang yang minta disambungkan rambut), orang yang membuat tatu dan orang yang minta dibuatkan tatu.” (Hadits riwayat Muslim)


Hadits di atas jelas menunjukkan bahawa perempuan yang bertatu sama ada orang yang membuat tatu ataupun orang yang minta dibuatkan tatu semata-mata kerana kecantikan adalah dilaknat oleh Allah Subahanhu wa Ta‘ala dan RasulNya.

Larangan bertatu itu tidaklah terbatas kepada perempuan sahaja bahkan kepada lelaki juga. Adapun jika kanak-kanak atau orang gila dibuatkan tatu kepada mereka, maka orang itu akan
menanggung dosa perbuatannya, sementara kanak-kanak atau orang gila tersebut tidaklah berdosa disebabkan belum ada taklif (kewajipan mentaati suruhan dan larangan agama) ke atas mereka.

Sumber : http://jomfaham.blogspot.com

 

0 comments: