Bolehkah Mewarna Rambut?.........................
Mewarna rambut yang beruban dengan warna kuning atau merah adalah sunat bagi lelaki dan perempuan. Begitu juga janggut yang beruban. (Al-Majmu‘: 1/360-362). Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak mewarna (rambut dan janggut mereka yang beruban, oleh kerana itu) kamu buatlah kelainan daripada mereka (dengan mewarna rambut dan janggut kamu yang beruban).”
(Hadis riwayat al-Bukhari)
Adapun rambut yang tidak beruban adalah sayugianya dikekalkan atau dibiarkan sebagaimana asalnya tanpa perlu diwarnakan kecuali jika ada sesuatu hajat untuk mewarnakannya seperti untuk tujuan perubatan.
Mewarna Rambut Dengan Warna Hitam
Bagaimanapun, mewarna rambut dengan warna hitam sama ada bagi lelaki atau perempuan adalah diharamkan. Daripada Jabir radhiallahu ‘anhu katanya:
Maksudnya: “Pada hari penaklukkan Mekkah, Abu Quhafah dibawa ke hadapan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dengan rambut dan janggutnya yang berwarna putih seperti tsaqhamah (sejenis tumbuhan yang bunga dan buahnya berwarna putih). Maka Baginda bersabda: “Tukarlah ini (rambut dan janggut) dengan sesuatu (yang lain), tetapi jauhilah (dari menggunakan) warna hitam”.
(Hadis riwayat Muslim)
Ibnu ‘Abbas radhiallahu ‘anhuma pula meriwayatkan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Di akhir zaman akan banyak kaum yang mewarna rambut dengan warna hitam seperti dada burung merpati, mereka itu tidak akan dapat mencium bau syurga”.
(Hadis riwayat Abu Daud)
Berdasarkan dua hadis yang tersebut di atas, maka adalah haram mewarna rambut dengan warna hitam bagi lelaki dan perempuan.
Walaubagaimana pun diberi kelonggaran bagi orang yang keluar berjihad menggunakan warna hitam sekiranya ia bertujuan untuk menakutkan musuh. Begitu juga diberi kelonggaran kepada wanita yang bersuami menggunakan warna hitam bagi tujuan berhias untuk suaminya dengan syarat ada izin daripada suaminya. (Al-Majmu‘: 1/360-362 dan Bughyah al-Mustarsyidin: 78)